"VTE2021 akan dianjurkan di DiTTAM Virtual Convention Center (DVCC) bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam secara dalam talian."
KUALA LUMPUR: Pameran pelancongan maya, Virtual Tourism Expo 2021 (VTE2021) yang akan diadakan bermula 27 hingga 29 Ogos 2021.
Persatuan Teknologi Pelancongan Digital Malaysia (DiTTAM) memberitahu, pameran yang bertemakan ‘Semuanya Ada Di Malaysia’ itu mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia, Jabatan Pelancongan Negeri serta penggiat industri pelancongan tempatan dalam usaha mempromosikan pelancongan domestik.
Kerjasama tersebut seiring dengan usaha kerajaan untuk mempromosikan pelancongan domestik selain mewujudkan platform pemasaran maya untuk pemain industri yang terlibat secara khusus dalam pakej dan perkhidmatan domestik.
Pengerusi VTE2021, Datuk Jeffri Sulaiman berkata, VTE2021 akan memberikan suatu pengalaman baharu kepada para pengunjung ekspo yang akan teruja dengan ruang pameran maya berteknologi tiga dimensi atau 3-D yang direka khas menyerupai pameran secara fizikal.
“Para pengunjung akan dapat berinteraksi secara maya dan ‘live’ dengan peserta pameran serta dapat membeli pakej-pakej pelancongan secara dalam talian melalui teknologi digital canggih 3-D yang disediakan oleh DiTTAM.
DiTTAM telah menyediakan lebih daripada 150 ruang pameran teknologi 3-D dalam VTE 2021 yang boleh dikunjungi secara maya oleh para pengunjung pada bila-bila masa ketika Pameran VTE2021 berlangsung.
Dengan sokongan dari Tourism Malaysia, Jabatan Pelancongan Negeri, Persatuan Pelancongan, Hotel dan Resort serta pemain Industri Pelancongan Tempatan, Pameran VTE 2021 akan dapat menyumbang dan menyokong pertumbuhan pelancongan domestik,” katanya dalam satu kenyataan.
VTE2021 akan dianjurkan di DiTTAM Virtual Convention Center (DVCC) bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam secara dalam talian.
Tourism Malaysia serta Jabatan Pelancongan Negeri seperti Langkawi, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka turut mengesahkan keberadaan pihaknya di Pameran VTE 2021.
Selain itu, VTE 2021 tersebut juga akan disertai oleh Persatuan Kelab-kelab Golf, Persatuan Penyelam, Inap Desa, Hotel, Resort dan agensi pelancongan yang akan berkampung secara maya di VTE2021 selama tiga hari.
Pameran maya tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sumber : Astro Awani