CYBERJAYA – Kira-kira 40,000 pengunjung disasar mengunjungi Ekspo Pelancongan Maya 2021 (VTE 2021) yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 Ogos ini.
Presiden Persatuan Teknologi Pelancongan Digital Malaysia (DiTTAM), Rohizam Md Yusoff berkata, pada masa yang sama pihaknya mensasarkan jualan sebanyak RM2 juta sepanjang tiga hari ekspo itu berlangsung.
Beliau berkata, walau pun kes-kes positif harian COVID-19 masih tinggi di Malaysia namun VTE2021 ini adalah persediaan awal bagi industri untuk menerima pengunjung sejurus rentas negeri dibenarkan dan industi pelancongan kembali dibuka.
“Lagi pun pakej-pakej yang disediakan adalah sah untuk tempoh enam bulan sehingga setahun. Jadi kita tidak mahu apabila pelancongan dibenarkan, kita baharu terburu-buru menawarkan pakej.
“Selain menggiatkan semula sektor pelancongan, melalui VTE2021 ini juga kami membantu pengusaha dan pihak industri mempelajari teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya sempena pelancaran awal VTE 2021. Hadir sama Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Zulkifly Md Said.
Menurut Rohizam, setakat ini lebih 100 penggiat industri pelancongan dan agensi-agensi kerajaan berkaitan mengambil bahagian dalam VTE2021.
Katanya, dengan sokongan Tourism Malaysia, Jabatan Pelancongan Negeri, Persatuan Pelancongan, Hotel dan Resort serta pemain industri pelancongan tempatan, VTE 2021 akan dapat menyumbang dan menyokong pertumbuhan pelancongan domestik.
“Ini semua adalah sebahagian daripada usaha DiTTAM untuk mempertingkatkan pelancongan dan ekonomi domestik,” katanya.
Orang ramai boleh mengunjungi VTE2021 menerusihttps://vte2021.malaysiaexpo.net yang dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sumber : Edisi 9